Wednesday, May 9, 2012
berbuat baik kepada ibu bapa
Ibu bapa
merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam keluarga. Mereka banyak
berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anak. Mereka tidak
pernah meminta atau mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah,
pengorbanan dan kasih sayang yang mereka berikan.
Tapi
sekarang ni ramai anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka. Perkara ini amat
serius. Anak-anak telah hilang rasa hormat, sering bercakap dengan nada tinggi
dan kasar, bahkan ada yang berani memukul kerana tidak sependapat atau
berselisih faham. Yang paling sedih dan teramat teruk ada yang tidak segan silu
menyaman ibu bapa mereka jika menyentuh hal peribadi mereka. Inilah kelemahan
sistem manusia yang sering dikatakan untuk memenuhi hak asasi manusia tetapi
tidak pernah mampu mendidik dan membentuk peribadi yang mulia.
Islam
mengajar agar anak-anak menghormati ibu bapa dan menghargai pengorbanan mereka.
Perintah ini banyak dimuatkan dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa perkara ini
amat penting.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada
kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang
bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan
kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Luqman, 31: 14)
“Kami
perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa…”
(al-Ahqaf, 46: 15)
Menghormati
dan taat kepada ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang
dalam keluarga. Hadith RasulAllah di bawah wajar diperhati sebagai peringatan
kepada kita dalam menjaga adab dengan ibu bapa.
“Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati
orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).
RasululAllah
tidak mengiktiraf mereka yang tidak menghormati ibu bapa mereka termasuk dalam
golongan muslim. Dalam hadis yang lain, perbuatan derhaka kepada kepada ibu
bapa merupakan maksiat yang akan di balas dengan segera di dunia ini.
“Dua kejahatan
yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu
bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sebagai
contoh mudah, cerita lama si tanggang yang sombong dan mengina ibunya setelah
menjadi nahkoda kapal, mendapat balasan dengan ditukar menjadi batu setelah
ibunya merintih dan berdoa kepada Allah akan memberi pengajaran kepadanya.
Menderhaka
kepada kedua ibu bapa merupakan dosa yang besar dan sangat dimurkai oleh Allah.
Perkara ini diberikan contoh yang lebih mendalam dan lebih kecil sehingga
kepada perkataan dan ucapan seharian.
Allah
melarang anak-anak melawan ibu bapa mereka dengan nada yang kasar yang boleh
menyentuh hati seperti perkaaan ‘ah’, ‘cis’, ‘uh’ dan sebagainya.
“Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain
Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah
seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah
sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau
suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah
lembut.” (al-Isra’,
17: 23 )
Perkara
ini mungkin nampak kecil, namun Allah tetap menekannya agar manusia mengambil
peringatan dalam menjaga adab dan sebagai batas-batas dan aturan yang perlu
diikuti demi keharmonian hidup.
Sebagai
anak, wajar kita sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan mengucapkan
kata-kata yang baik dan menyenangkan hati mereka. Dan lebih-lebih lagi kita
dituntut agar mendoakan kesejahteraan mereka.
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih
sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya
sebagaimana mereka telah mendidik aku pada waktu kecil” (al-Isra’, 17: 24)
Menghormati
dan berbakti kepada ibu bapa merupakan suatu perkara yang sangat disukai oleh
Allah dan termasuk dalam perbuatan yang menjadi keutamaan yang tinggi.
Diriwayatkan
daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya kepada Nabi
Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu baginda bersabda:
Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? tanya saya lagi. Baginda menjawab:
Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda:
Berjihad pada jalan Allah.
Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai
masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia,
Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud:“Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya,
menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan
silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu
Majah).
Marilah
kita bersama-sama menyemai kasih sayang dan mewujudkan keharmonian dalam
keluarga sehingga diberkahi dan mendatangkan sakinah. Semoga keharmonian dalam
keluarga akan menyemarakan lagi kesejahteraan dan kualiti hidup bermasyarakat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.